Penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 bukan sahaja berjaya menarik minat seluruh lapisan masyarakat malah berupaya mencapai matlamat untuk meletakkan sektor agromakanan negara setanding di peringkat global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian membanggakan MAHA dapat dilihat menerusi jumlah kehadiran pengunjung yang tinggi melepasi sasaran empat juta orang, selain nilai jualan keseluruhan dan nilai kerjasama Memorandum Persefahaman (MoU) juga melebihi sasaran awal.
“Saya sambut baik dan tentunya akan rujuk lagi perkembangan MAHA. Saya melihat minat yang begitu menarik orang ramai daripada pelbagai lapisan kaum terhadap MAHA.
“Malah ia satu program yang berjaya menarik minat barisan kepimpinan tertinggi negara termasuk raja, sultan dan Tuan Yang Terutama dari setiap negeri untuk hadir,” kata Perdana Menteri.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian penutupan MAHA 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor.
Hadir sama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, MAHA 2026 mencatat satu sambutan luar biasa dan perkembangan itu merupakan satu petanda yang sangat baik untuk sektor agro makanan negara.
Malah kata beliau, dalam peralihan dasar negara yang menggapai di langit dan berakar di bumi, usaha pertanian bagi penghasilan makanan terus menjadi fokus utama negara.
“Saya amat terharu dan bangga dengan jumlah penyertaan dan komitmen yang begitu baik ditunjukkan oleh semua pihak bagi menjayakan MAHA 2026.
“Permintaan agar peruntukan penganjuran MAHA ditambah, ia boleh diberikan bersesuaian dengan prestasi yang membanggakan,” ujar beliau.
Perdana Menteri berkata, Kerajaan MADANI sememangnya memberi tumpuan khas kepada kegiatan dan pengembangan sektor agro makanan negara.
Jelas beliau, beberapa tonggak dan ikhtiar baharu dalam program pertanian yang telah dibincangkan sebelum ini telah dilaksanakan berdasarkan eksport negara pada masa ini.
Sebagai contoh, beliau berkata, eksport nanas yang dahulu kecil tetapi sekarang sudah besar dan hasil pengeluaran bawang negara yang dahulunya hampir tidak ada tetapi sekarang sudah berkembang pesat.
“MAHA 2026 mencatat satu kejayaan dari segi pelaburan dan peluang perdagangan. Saya berharap kaedah ini diteruskan.
“Namun begitu, perlu diteruskan adalah dengan tindakan susulan. Kita ada dasar dan program yang baik, tetapi kadang-kadang berlaku tindakan susulan yang lemah,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
