Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa terharu apabila menyaksikan karya miliknya, ‘Rethinking Ourselves: Justice, Reform, and Ignorance in Postnormal Times’ secara rasmi diterjemah dalam Bahasa Mandarin.
Beliau berkata, usaha murni menterjemah karya tersebut diharap dapat memperluas medan pertemuan serta pembentukan pemikiran, budaya dan peradaban.
“Buku ini tidak berbentuk memoir atau autobiografi, tetapi merupakan himpunan renungan tentang pengaman mengenai penjajahan dan imperialisme, kebangkitan negara negara merdeka, usaha pencarian serta pemurnian jati diri bangsa.
“Selain itu, ia juga berkisar tentang usaha dan ikhtiar membina negara bangsa serta masa depannya berpaksikan keadilan, kemanusiaam dan kemakmuran bersama,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Dalam konteks hubungan Malaysia dan China, beliau berkata, ia mengajar bahawa perbezaan tidak semestinya menjurus kepada pertentangan.
Sejak berabad lamanya, kata beliau, hubungan antara masyarakat dan peradaban terbina melalui jalur perdagangan, kebudayaan, sikap saling hormat dan pertukaran ilmu.
Jelas beliau, dalam dunia yang semakin berantakan disebabkan prasangka dan ketidakyakinan, jambatan kefahaman harus terus diperkukuh.
“Sementalahan, saya yakin kita tidak harus terperangkap dalam dikotomi Timur atau Barat. Dari Confucius dan Mencius sehingga Shakespeare, termasuk dari tradisi Islam hingga khazanah pemikiran pelbagai peradaban, yang harus kita junjung ialah hikmah yang mengangkat martabat manusia yakni prinsip tegas kepada kebenaran, keadilan, ihsan dan rasa hormat antara insan,” ujar beliau.
Akhirnya, kata beliau lagi, persoalan besar zaman ini tidak semata tentang siapa muncul dari Timur atau Barat, apa bangsa atau anutannya, tetapi sejauh mana kita mampu kembali menemukan kemanusiaan yang menyatukan kita dan membina kesejagatan yang adil dan saksama untuk semua. -MalaysiaMADANI
