Berita

Elak unsur penipuan, KPKM laksana pemeriksaan ke kilang padi secara berkala

Pemutuan sebenar padi merupakan proses penilaian yang mengambil kira potongan semasa pembelian padi yang dibuat oleh pelesen membeli padi atau kilang padi komersial.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, Pelaksanaan Kaedah Pemutuan Sebenar Padi yang dibangunkan adalah berdasarkan Piawaian Spesifikasi dan Penggredan Padi (MS 84:2017).

“Ia bertujuan memastikan urusan pembelian padi dilaksanakan secara lebih telus dan adil, selain memastikan subsidi padi diagihkan dengan lebih tepat berdasarkan hasil padi yang berkualiti dan bersih,” kata KPKM menerusi laman media sosialnya. 

Menurutnya, KPKM melalui Kawalselia Padi dan Beras turut melaksanakan pemeriksaan secara berkala ke kilang-kilang padi bagi memastikan kaedah tersebut dipatuhi serta tiada unsur penipuan dalam proses penjualan padi.

Selain itu katanya, kumpulan pesawah juga disarankan memastikan padi yang dituai benar-benar matang dan mencukupi tempoh tuaian, memilih waktu tuaian yang sesuai.

Tambahnya lagi, pesawah juga diingatkan untuk menggunakan benih padi yang sah bagi membantu menjamin kualiti hasil tuaian.

Sebarang makluman lanjut boleh menghubungi Pejabat Kawalselia Padi dan Beras yang berdekatan. -MalaysiaMADANI