Secanggih mana teknologi digunakan, pembangunan dan kejayaan sebenar sesebuah negara masih ditentukan oleh modal insan yang dipenuhi dengan sifat keperibadian tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, masa depan sesebuah negara tidak ditentukan semata oleh kecanggihan mesin yang dimiliki, limpahan modal yang diterima atau betapa pesatnya teknologi.
Sebaliknya kata beliau, penentu atau indikator utama adalah manusia, yakni ilmu yang dikuasai, kemahiran yang digarap serta nilai yang menjadi pembimbing dalam setiap tindakan.
“Maka atas kesedaran itu, Malaysia sedang memperkukuh TVET 2.0 dengan institusi latihan dan industri, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan, semikonduktor serta tenaga boleh baharu.
“Kita tidak mahu anak muda sekadar menjadi tenaga kerja kepada perubahan, tetapi menjadi generasi yang menguasai perubahan lantas turut bersama mencorak arah dan masa depan negara,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Terdahulu, Perdana Menteri hadir menyaksikan secara langsung perarakan Kontinjen Malaysia pada majlis perasmian Pertandingan Kemahiran Dunia (WorldSkills Competition) Shanghai 2026.
Beliau menzahirkan rasa bangga kepada 22 anak muda Malaysia yang berentap dalam 22 bidang kemahiran di Shanghai.
Menurut beliau, pasukan negara bukan semata mahu merebut kemenangan, tetapi keberanian untuk bersaing dengan yang terbaik di dunia, belajar daripada pengalaman dan pulang ke tanah air dengan tekad untuk meninggikan mutu dan standard negara.
Tegas beliau, kemahiran tanpa nilai akan memunculkan kemajuan yang tempang dan tidak seimbang.
“Kita mahu generasi yang bukan sahaja pandai dan cekap mengurus serta mengendalikan teknologi, tetapi punya keinsafan tentang keadilan, maruah insan dan tanggungjawab kepada keluarga, masyarakat serta negara.
“Kemajuan yang hakiki adalah apabila teknologi mengangkat manusia dan nilai, bukan sebaliknya,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
