Berita

Usahawan bimbingan KKDW berjaya luas pasaran ke pentas antarabangsa

Keupayaan penganjuran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) ke-22 mengangkat produk tempatan ke pentas dunia sememangnya tidak boleh dinafikan.

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, penyertaan 42 usahawan yang dibawa oleh kementerian itu melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA) GATE TO GLOBAL di MIHAS 2026 telah membuka peluang baharu untuk produk tempatan menembusi pasaran antarabangsa.

Katanya, antara pencapaian utama adalah pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara NIMS Adeliciousz Sdn Bhd dengan rakan niaga dari Korea Selatan.

“Pemeteraian MoU itu membawa potensi jualan sehingga USD100 juta dalam tempoh tiga tahun,” kata KKDW menerusi laman media sosialnya. 

Menurutnya lagi, Hassan Majid Sdn Bhd turut memeterai MoU dengan PT Varastra Cahaya Indonesia (VARSKY) bagi memperluas pasaran produk Cap Bunga Rose di Indonesia.

Katanya, pencapaian tersebut memperlihatkan keupayaan usahawan tempatan membina keyakinan rakan niaga antarabangsa apabila diberi akses kepada peluang pasaran yang lebih luas.

Turut hadir memberikan sokongan majlis pemeteraian MoU itu adalah Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Seri Suriani Ahmad; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Datuk Abdul Kahar Abdullah dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Datuk Dr Roslan Mahmood. -MalaysiaMADANI