Berita

Smart Enforcement: KDN perkukuh tindakan bersepadu hadapi krisis bekalan global

Tindakan bersepadu dilaksanakan oleh agensi keselamatan negara di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuahkan hasil apabila rampasan berjumlah RM202 juta berjaya dicapai bagi tempoh April hingga Ogos tahun ini.

KDN berkata, tindakan bersepadu secara berterusan dengan memperkukuh pendekatan Smart Enforcement telah dilaksanakan melalui penguatkuasaan berasaskan risikan, tindakan bersasar dan kerjasama bersepadu.

Katanya, kerjasama bersepadu itu melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi melindungi kestabilan bekalan, kepentingan ekonomi serta keselamatan rakyat.

Malah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan bahawa penguatkuasaan yang pintar, bersepadu dan tepat pada sasaran penting bagi memastikan kepentingan rakyat terus dilindungi serta setiap ancaman terhadap keselamatan dan kestabilan negara dapat ditangani dengan berkesan.

“Bagi tempoh 12 April hingga 31 Ogos 2026, sebanyak 634 kes telah direkodkan dengan 2,004 tangkapan berjaya dilakukan, manakala nilai keseluruhan rampasan mencecah RM202,012,298.59,” kata KDN menerusi laman media sosialnya.

Menurut KDN, pendekatan penguatkuasaan digerakkan secara tersusun dengan memberi tumpuan kepada lokasi dan aktiviti berisiko tinggi. 

Tambahnya, penugasan anggota turut dikekalkan secara aktif di 28 lokasi strategik atau hotspot bagi memastikan pemantauan, pencegahan serta tindakan dapat dilaksanakan dengan pantas dan berterusan.

Katanya lagi, sehingga pada tarikh pelaporan dibuat, tiada kes baharu direkodkan namun kesiapsiagaan operasi terus dikekalkan. 

“KDN bersama jabatan dan agensi akan terus memperkukuh perkongsian risikan, penyelarasan operasi serta tindakan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan pelanggaran undang-undang yang boleh menjejaskan kestabilan bekalan negara,” ujarnya. -MalaysiaMADANI