Budaya cintakan negara dan semangat patriotisme perlu diterapkan dalam seluruh lapisan masyarakat terutama kepada golongan muda untuk mempunyai jati diri tinggi.
Dalam Mesyuarat Lembaga Tatakelola Dewan Kenegaraan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan penerapan nilai kenegaraan agar semangat cintakan negara terus subur dalam kalangan rakyat.
Beliau berkata, pembinaan negara bangsa menuntut usaha melahirkan insan yang berjati diri, berintegriti dan berpegang kepada nilai-nilai murni demi mengangkat martabat Malaysia.
“Saya turut mendengar taklimat mengenai kemajuan pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang menunjukkan perkembangan memberangsangkan serta mendapat sambutan amat baik daripada peserta dan ibu bapa.
“Sehubungan itu, program ini wajar terus diperkasa sebagai wadah membina jati diri, disiplin serta ketahanan rakyat,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Selain itu kata beliau, peranan Felo Kenegaraan turut diketengahkan yang menghimpunkan tokoh dan negarawan daripada pelbagai latar belakang untuk menyumbang idea bagi memperkukuh agenda pembinaan negara bangsa. -MalaysiaMADANI
