Berita

Melancarkan perjalanan ke Singapura, kerajaan tambah baik KSAB dan BSI

Kerajaan MADANI melakukan kerja-kerja penambahbaikan dan peningkatan perkhidmatan sempadan bagi memberi keselesaan kepada semua pihak termasuk warganegara yang ingin menuju ke Singapura. 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, laluan Johor-Singapura bukan sekadar pintu masuk negara, tetapi nadi kepada pergerakan rakyat, perdagangan dan pertumbuhan ekonomi serantau.

Oleh yang demikian, kata beliau, Kerajaan MADANI terus melaksanakan pelbagai penambahbaikan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

Beliau berkata, kerja-kerja penambahbaikan itu merangkumi peningkatan infrastruktur, kecekapan operasi serta pendigitalan perkhidmatan sempadan.

“Daripada lorong motosikal dan dewan penumpang yang lebih selesa, kepada penggunaan teknologi digital seperti MYNIISe, Malaysian Automated Clearance System (MACS) dan Variable Message Signage (VMS).

“Setiap penambahbaikan yang dilakukan ini bertujuan menjadikan proses keluar masuk negara menjadi lebih cepat, cekap dan berintegriti,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Tambah beliau, usaha yang dilakukan itu juga melengkapkan pembangunan Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) dan persediaan menjelang operasi RTS Link yang bakal memperkukuh mobiliti rakyat secara keseluruhannya.

Menurut beliau lagi, tindakan proaktif oleh Kerajaan MADANI itu bakal merancakkan aktiviti ekonomi antara Malaysia dan Singapura.

Kata beliau, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan terus memastikan pintu masuk negara bukan sahaja selamat dan efisien, malah mampu menyokong pertumbuhan ekonomi negara serta memberikan pengalaman yang lebih baik kepada jutaan pengguna setiap tahun.

“Semua usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI ini bertujuan menuju ke arah pergerakan rentas sempadan yang lebih pantas, cekap dan berintegriti,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI