Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus mengorak langkah dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat menerusi pelancaran aplikasi MyLLSNet yang bertujuan membina ekosistem generasi masa depan yang sihat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, selepas melakar sejarah sebagai perintis sistem Cloud-Based Clinic Management System (CCMS) sepenuhnya, KKM melangkah setapak lagi dengan pelancaran aplikasi MyLLSNet bagi memacu inisiatif ‘1,000 Hari Pertama Kehidupan: Kajian Longitudinal Langkawi’ (LLS).
Beliau berkata, LLS adalah kajian kohot kelahiran berimpak tinggi yang dilaksanakan oleh Institut Kesihatan Umum dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi dan Hospital Sultanah Maliha.
“Ini bukan sekadar gimik teknologi, tetapi komitmen tuntas Kerajaan MADANI bagi membina ekosistem generasi masa depan yang sihat,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Menurut beliau, Malaysia sedang berdepan krisis senyap iaitu isu pertumbuhan terbantut dalam kalangan kanak-kanak.
Kata beliau, kadar bantut kanak-kanak bawah lima tahun di peringkat nasional kini pada 21.2 peratus dan di Kedah angkanya lebih membimbangkan pada 23.7 peratus.
“Oleh itu, aplikasi MyLLSNet dibangunkan khusus untuk memberi kuasa terus ke tapak tangan ibu bapa bagi memantau status kesihatan bayi secara aktif dari saat lahir hingga berusia dua tahun,” ujar beliau.
Lebih strategik, tambah beliau, aplikasi tersebut sangat mesra pengguna dan membina ekosistem data yang menyeluruh.
Jelas beliau, ia dilengkapi carta tumbesaran interaktif berserta sistem ‘alert automatic’ yang akan memberi amaran sekiranya graf tumbesaran bayi menjunam atau berisiko bantut.
Menurutnya, aplikasi itu merupakan satu anjakan paradigma KKM iaitu bukan sahaja mengalihkan graviti sistem daripada sekadar merawat tetapi kepada mencegah awal melalui pendekatan kesihatan awam yang lebih jitu.
“Syabas kepada pasukan NIH dan IKU KKM atas inovasi ini, serta jutaan terima kasih kepada lebih 656 orang ibu di Langkawi yang telah menyertai kajian LLS.
“Ingatlah, jangan sesekali kita culas memantau 1,000 hari pertama anak-anak kita. Harta kekayaan boleh dicari, tetapi kesihatan dan tumbesaran zuriat yang optimum tiada galang gantinya,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
