Berita

Peluncuran Ekosistem Digital JPPM bantu tingkat perkhidmatan lebih baik

Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama agensi terlibat melancarkan beberapa program bagi memperkasakan sistem penyampaian perkhidmatan secara lebih pantas, telus dan berintegriti.

Perhimpunan bulanan KDN bagi bulan Julai 2026 telah dianjurkan bersama Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) dan disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Majlis tersebut menyaksikan Peluncuran Ekosistem Digital JPPM, penyampaian Sijil Projek Reformasi Karenah Birokrasi (RKB) serta penyerahan Poster Aduan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC).

Saifuddin dalam ucapan berkata, inisiatif yang dilancarkan itu bertujuan mempercepatkan proses penyampaian perkhidmatan, mengurangkan interaksi fizikal serta memperkukuh aspek integriti. 

“Dengan usaha itu, JPPM terus memainkan peranan penting memastikan lebih 200,000 pertubuhan di negara ini mematuhi Akta Pertubuhan 1966, di samping melaksanakan fungsi penguatkuasaan dan program penerangan kepada masyarakat,” kata beliau menerusi laman media sosial KDN.

Pada majlis sama, KDN turut mengetengahkan kejayaan beberapa agensi di bawah kementerian itu, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerusi inisiatif Mekar Didik yang membantu menyelesaikan isu-isu berkaitan dokumentasi pengenalan diri.

Bersempena sambutan Bulan Kebangsaan, Saifuddin turut menyeru seluruh warga KDN agar terus menyemarakkan semangat patriotisme dan cintakan tanah air. 

Kata beliau, sebagai penjawat awam yang menerajui aspek keselamatan dan ketenteraman awam negara, warga KDN disarankan agar menjadi contoh dalam menghayati nilai-nilai kebangsaan serta mempertahankan kedaulatan negara. -MalaysiaMADANI