Berita

F1 Bahrain diadakan di Sepang, kos ditanggung negara tersebut  

Satu yang bertuah apabila Formula Satu (F1) menerusi laman web rasminya pada Ahad mengumumkan secara rasmi bahawa Malaysia dipilih sebagai tuan rumah penganjuran Grand Prix Formula 1 Gulf Air Bahrain.

Penganjuran itu akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 2 hingga 4 Oktober ini. 

Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpeluang mengadakan perbincangan bersama Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman bin Hamad Al-Khalifa serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif F1, Stefani Domenicali.  

Perdana Menteri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Putera Mahkota, kerajaan dan rakyat Bahrain atas kepercayaan dan keyakinan yang diberikan kepada Malaysia untuk menganjurkan perlumbaan tersebut. 

“Kami berbesar hati untuk menyokong Kerajaan Bahrain, Formula 1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dalam penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang pada tahun ini,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Beliau berkata, kerjasama itu melangkaui penganjuran sebuah acara sukan bertaraf dunia, seterusnya mencerminkan persahabatan yang berkekalan, kepercayaan bersama serta hubungan kerjasama yang erat antara Malaysia dan Kerajaan Bahrain.

Di samping itu, beliau menegaskan kesiapsiagaan serta keupayaan Malaysia untuk menjadi tuan rumah kepada acara-acara antarabangsa berskala besar.

Menurut beliau, Malaysia bersedia dan mengalu-alukan kepulangan Formula 1, FIA, pasukan-pasukan bertanding serta para peminat dari seluruh dunia ke Litar Antarabangsa Sepang. 

“Kami berharap dapat mempamerkan infrastruktur bertaraf dunia, kecemerlangan operasi serta layanan mesra rakyat Malaysia, di samping terus memperkukuh hubungan erat antara kedua-dua negara menerusi penganjuran istimewa ini,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI