Berita

Pasukan keselamatan tunjang kestabilan, kemakmuran negara -PM

Kerajaan MADANI akan sentiasa menghargai jasa dan pengorbanan besar anggota keselamatan mempertahan kedaulatan serta keamanan negara demi memastikan negara terus kekal sejahtera.

Memaknai sumbangan besar tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meluangkan masa bersama-sama keluarga besar Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan.

Perdana Menteri berkata, keamanan negara yang dikecapi hari ini lahir daripada pengorbanan yang tidak pernah terhenti oleh warga ATM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta seluruh pasukan keselamatan. 

“Jasa dan pengorbanan merekalah yang menjadi asas kepada kestabilan, kemakmuran serta keyakinan dunia terhadap Malaysia,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Dalam negara yang majmuk, kata beliau, Perlembagaan Persekutuan kekal menjadi asas perpaduan dengan menjamin kedudukan Islam, hak orang Melayu dan Bumiputera, Bahasa Melayu serta institusi Raja-Raja Melayu.

Sebagai rakyat Malaysia, tegas beliau, semua perkara asas tersebut wajib dipertahankan demi memastikan masa depan negara yang cemerlang.

Untuk itu menurut beliau, orang ramai sama sekali tidak boleh membiarkan fitnah, kebencian atau sentimen yang memecah-belahkan rakyat mengatasi semangat kebersamaan yang sekian lama menjadi kekuatan Malaysia.

“Marilah kita terus pertahan kestabilan, memperkukuh perpaduan dan memastikan usaha membangunkan negara dapat diteruskan demi mewariskan sebuah Malaysia yang aman, bersatu, makmur serta dihormati kepada generasi mendatang,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI