Kerjasama erat dan hubungan baik Malaysia-Bangladesh bukan sekadar terjalin ketika waktu senang, sebaliknya berjaya dibuktikan ketika mana salah sebuah negara berhadapan situasi getir.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sewaktu mengadakan perbualan telefon bersama rakan sejawat dari Bangladesh, Tarique Rahman, perbincangan menyentuh pelbagai perkara berkaitan usaha memperkukuh hubungan kedua-dua negara, khususnya dalam bidang tenaga dan pelaburan demi manfaat bersama.
“Antara perkara utama yang dibangkitkan adalah cabaran bekalan gas yang sedang dihadapi Bangladesh terkait kekangan bekalan.
“Justeru beliau memohon bantuan Malaysia termasuk melalui kerjasama dengan PETRONAS bagi membekalkan gas asli cecair (LNG) untuk membantu memenuhi keperluan mendesak negara itu,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Dalam perbualan telefon tersebut, menurut beliau, antara perkara utama lain turut dibincangkan adalah kerjasama ekonomi yang jauh lebih erat.
Jelas beliau, kerjasama itu termasuk kemajuan pelaburan melibatkan Axiata serta potensi kerjasama strategik bersama MMC Port dalam memperkukuh hubungan ekonomi serta membuka lebih banyak peluang kepada kedua-dua negara.
Kata beliau, Malaysia akan terus komited memperkukuh hubungan persahabatan yang telah lama terjalin dengan Bangladesh berteraskan semangat saling menghormati.
“Ia membabitkan kerjasama yang pragmatik serta iltizam untuk membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
