Berita

Langkah drastik bantu ringankan beban rakyat

Kerajaan melaksanakan beberapa langkah drastik bagi meringankan beban rakyat ekoran krisis bekalan global yang kian meruncing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), kerajaan memberi tumpuan terhadap tekanan kos sara hidup yang semakin dirasai.

Sehubungan itu, beliau berkata, beberapa ikhtiar segera digerakkan Kerajaan MADANI termasuk membela kumpulan pesawah dengan pemberian pendahuluan RM200.

“Bantuan ini diberikan melalui Bantuan Khas Insentif Pembajakan bagi meringankan aliran tunai dan keperluan modal pesawah,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Selain itu kata beliau, kerajaan juga melaksanakan pengurangan kadar sewaan di premis perniagaan milik agensi persekutuan serta seruan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan mencontohi langkah yang dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menuru beliau lagi, berdasarkan keperluan mendesak, kerajaan turut melaksanakan pembenihan awan di negeri-negeri kritikal termasuk Kedah dan Perlis.  

Tambah beliau, proses pembenihan awan segera itu akan dilaksanakan oleh agensi kerajaan termasuk penglibatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Bagi meringankan kos sara hidup masyarakat, beliau berkata, program jualan Rahmah MADANI diperluas setiap minggu ke lebih banyak kawasan dengan penglibatan peniaga kecil.

Tegas beliau, Kerajaan MADANI akan terus memperkemas pendekatan yang lebih bersasar dan berkesan, supaya setiap bantuan benar-benar sampai dan dirasai masyarakat di lapangan. 

“Insya-Allah, kita tempuh cabaran ini dengan tanggungjawab, keprihatinan dan tekad yang tidak berbelah bahagi,” ujar beliau -MalaysiaMADANI