Berita

144 pelajar eKasih Sabah terima bantuan komputer riba, simpanan pendidikan

Seramai 144 pelajar daripada keluarga eKasih di Sabah menerima sokongan pendidikan menerusi Program Aspirasi Bitara Digital dan Program Titipan Kasih.

Bantuan itu merupakan hasil kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Sabah bersama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

ICU JPM berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 94 pelajar menerima bantuan komputer riba bagi menyokong keperluan pembelajaran digital, manakala 50 pelajar menerima Sijil Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

“Bantuan SSPN adalah sebagai persediaan untuk pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” kata ICU JPM menerusi laman media sosialnya.

Tambahnya lagi, inisiatif di bawah Program Sejahtera MADANI itu bertujuan membantu mengurangkan kekangan akses pendidikan kepada pelajar yang kurang berkemampuan.

Menerusi bantuan itu katanya, ia memberi peluang kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah untuk terus belajar dan membina masa depan yang lebih baik.

“Semoga bantuan yang diterima dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan menjadi pemangkin kepada kecemerlangan akademik serta membuka lebih banyak peluang pendidikan buat anak-anak ini,” ujarnya. -MalaysiaMADANI