Malaysia menegaskan bahawa kerjasama ekonomi di Asia Pasifik mesti berpaksi pada keadilan dan ukuran kemajuan berdasarkan pertumbuhan ekonomi yang berjaya membawa perubahan dalam kehidupan seharian masyarakat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia akan terus memperjuangkan sistem perdagangan pelbagai hala yang terbuka dan adil.
“Setiap ekonomi sama ada besar mahupun kecil mempunyai suara dan peranan dalam mencorak masa depan Asia Pasifik yang lebih terangkum dan saksama,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Perdana Menteri menegaskan perkara tersebut selepas menghadiri Sidang Kemuncak APEC 2026 di Shenzhen, China.
Dalam sidang kemuncak tersebut, Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan dua hala bersama Presiden Republik Rakyat China, Xi Jinping, sebagai penutup kepada acara lawatan rasmi ke Shenzhen.
Perdana Menteri menzahirkan penghargaan terhadap kepemimpinan Presiden Xi yang terus memainkan peranan penting dalam mencorak landskap geopolitik dan tatacara dunia (world order), khususnya kebijaksanaan pemimpin republik itu dalam mengemudi hubungan antara kuasa-kuasa besar serta memperjuangkan kepentingan negara-negara membangun.
Selain itu, Perdana Menteri turut menyampaikan ucapan tahniah atas kejayaan China menganjurkan Sidang Kemuncak APEC 2026 dengan begitu cemerlang, sekali gus memperlihatkan keupayaan luar biasa negara itu dari sudut pembangunan prasarana, kecekapan pentadbiran dan penyelarasan organisasi yang mantap.
Lebih bermakna kata beliau, pendekatan China yang memberikan penghormatan dan layanan saksama kepada semua negara, tanpa mengira kekuatan ekonomi mahupun kedudukan geopolitik, wajar dijadikan teladan dalam membina tatanan antarabangsa yang lebih adil dan bermaruah.
“Malaysia kekal teguh dengan pendirian untuk terus memperkukuh hubungan strategik bersama China, tanpa tunduk kepada sebarang tekanan luar, berteraskan prinsip saling menghormati, kepercayaan dan kepentingan bersama demi kemakmuran kedua-dua negara serta kesejahteraan rantau ini,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
