Kementerian Kewangan (MOF) sentiasa berusaha memastikan projek pembangunan untuk rakyat di Kampung Angkat MADANI (KAM) berjalan lancar dan memberi manfaat secara keseluruhan.
Sehubungan itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican telah turun padang ke KAM di Pulau Tuba, Langkawi, Kedah.
MOF berkata, kesempatan majlis turun padang itu digunakan sebaiknya oleh Johan untuk beramah mesra dengan penduduk kampung, sekali gus meninjau peningkatan di kampung tersebut.
“Antara projek yang dilaksanakan adalah pemasangan lampu jalan solar, pembaikan jalan, naik taraf masjid serta balai raya dan KIOSK Usahawan,” kata MOF menerusi laman media sosialnya.
Pulau Tuba dan Selat, Langkawi, Kedah telah dipilih sebagai KAM oleh MOF, manakala Lembaga Pembangunan Langkawi bertindak sebagai agensi pelaksana.
MOF berkata, sebanyak 13 projek iaitu 11 projek fizikal dan dua projek bukan fizikal yang meliputi RM2.5 juta telah memanfaatkan seramai 5,000 orang penduduk. -MalaysiaMADANI
