Berita

MOF perkukuh infrastruktur dan pembangunan geopelancongan Langkawi 

Memperkukuh sektor pelancongan negara, Kerajaan MADANI mempergiat usaha menjadikan Langkawi sebagai destinasi utama pilihan pelancong dari dalam dan luar negara. 

Untuk itu, Ketua Setiausaha Perbendahaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan), Datuk Seri Ab Rahim Ab Rahman mengadakan lawatan kerja bagi meninjau kemajuan pelaksanaan projek-projek pembangunan strategik di sekitar Langkawi.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Seri Iskandar Mohd Kaus. 

Kementerian Kewangan (MOF) berkata, lawatan kerja itu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh infrastruktur sokongan pelancongan, meningkatkan kemudahan awam serta membangunkan produk geopelancongan baharu.

“Ini bagi mempertingkat daya saing Langkawi sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa,” kata MOF menerusi laman media sosialnya..

Menurutnya, antara projek utama yang menjadi tumpuan lawatan adalah Jeti Kilim, Pulau Anak Tikus/Gua Langsir, Kilim Karst Geoforest Park, Kota Mahsuri dan Dewan Mahsuri International Exhibition Centre (MIEC).

Katanya, lawatan itu juga memberi ruang kepada LADA untuk membentangkan status kemajuan projek, keperluan peruntukan serta cabaran pelaksanaan bagi memastikan setiap inisiatif pembangunan dapat direalisasikan secara terancang dan berkesan.

Tambahnya, pelaksanaan projek-projek tersebut bukan sahaja bertujuan mempertingkat kualiti kemudahan dan pengalaman pelancong, malah turut berpotensi merancakkan aktiviti ekonomi tempatan.

“Selain itu, ia juga membuka peluang keusahawanan serta memperkukuh kedudukan Langkawi sebagai destinasi pelancongan yang mampan dan berdaya saing,” ujarnya. -MalaysiaMADANI