Malaysia berhasrat menilai semula keutamaan ekonomi negara ketika mana ekonomi global semakin meruncing dan suasana ketidakpastian kian mencabar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, berdasarkan ketegangan geopolitik yang berlaku ketika ini, ia menuntut negara melakukan satu tindakan ke atas ekonomi negara.
Beliau menegaskan, meskipun sebahagian tekanan ekonomi berada di luar kawalan negara, namun kerajaan harus kekal tangkas, responsif dan berpandangan jauh.
“Ini termasuk dalam mengurus risiko jangka pendek, di samping merencana hala tuju yang mampan untuk jangka panjang,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Kata beliau, kerajaan pada masa ini masih berupaya mengekang kenaikan harga bahan api domestik, dengan RON95 kekal antara yang terendah di dunia.
Namun demikian jelas beliau, langkah kerajaan mengekalkan harga RON95 itu menuntut komitmen fiskal yang besar, selain perlu dinilai secara berhemah demi kelangsungan jangka sederhana dan panjang.
Sehubungan itu beliau berkata, perkembangan semasa menuntut negara untuk memperkukuh keupayaan meramal dan mendepani risiko, sama ada dalam jangka pendek mahupun sederhana.
Jelas beliau, semua langkah itu dilaksanakan dengan pengurusan ekonomi yang lebih strategik dan berfokus sebagai teras utama dasar negara.
Tambah beliau, dalam dunia yang semakin bergelora dengan krisis geopolitik, perpaduan umat Islam bukan lagi sekadar pilihan, tetapi satu keperluan yang mendesak.
“Kekuatan kita terletak pada kesatuan yang berteraskan prinsip, berpaksikan keadilan dan nilai kemanusiaan sejagat.
“Setiap langkah dan dasar yang diambil harus menjurus kepada matlamat yang jelas menentang segala bentuk penindasan serta mempertahankan hak mereka yang dizalimi, khususnya saudara-saudara kita di Palestin,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
