Berita

Malaysia perlu bangkit jadi pelopor bidang teknologi, kecerdasan buatan

Bukan sekadar menjadi saksi kemajuan teknologi dunia, sebaliknya Malaysia perlu bangkit sebagai pelopor dalam bidang teknologi dan kecerdasan buatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia seharusnya mengambil manfaat daripada pengembangan operasi syarikat luar yang berada di negara ini.  

Beliau berkata, peluncuran Huawei AI Lab and Innovation Centre di negara ini bukan sekadar lambang kemajuan teknologi, tetapi manifestasi kesungguhan Malaysia untuk mengangkat darjatnya sebagai negara peneraju dalam era kecerdasan buatan.

“Kita tidak boleh lagi selesa sebagai pengguna, sebaliknya mesti bangkit sebagai pencipta dan penentu arah, dengan keberanian membina kekuatan sendiri serta memanfaatkan bakat anak tempatan secara tuntas,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Dalam keghairahan dunia mengejar kecanggihan teknologi kecerdasan buatan (AI), tegas beliau, negara tidak boleh alpa bahawa kemajuan tanpa nilai hanya akan meruntuhkan makna pembangunan itu sendiri. 

Justeru itu kata beliau, prinsip keadilan, ihsan dan keseimbangan sosial mesti kekal terpahat sebagai asas, agar teknologi yang ada boleh memanfaatkan manusia secara menyeluruh, bukan menjarakkan lagi jurang sedia ada.

Menurut beliau, Kerajaan MADANI akan terus memastikan transformasi digital bersifat inklusif dan berteraskan rakyat, sekali gus merapatkan jurang antara bandar dan desa.

Tambah beliau lagi, ia juga diharap dapat membuka ruang kepada bakat tempatan untuk berkembang serta menjamin setiap lapisan masyarakat merasai manfaatnya secara adil dan saksama. 

“Dalam masa sama, Malaysia kekal terbuka kepada kerjasama global, namun dengan pendirian yang tegas bahawa setiap langkah mesti dipacu menurut acuan kita sendiri.

“Semestinya ia berteraskan nilai, demi masa depan yang lebih maju, berdaulat dan bermaruah,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI