Berita

DBKL manfaat dana caj pembangunan, naik taraf tiga projek jalan bersasar di lokasi kritikal

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil pendekatan baharu dalam pengurusan caj pembangunan apabila kutipan diperoleh akan disalurkan semula terus ke kawasan setempat bagi menaik taraf infrastruktur untuk rakyat.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud berkata, langkah pembaharuan tersebut membuktikan komitmen DBKL memastikan setiap pembangunan baharu turut menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan komuniti sekitar, khususnya daripada segi jaringan jalan raya, sistem perparitan, kemudahan awam dan penyuraian trafik.

Beliau berkata, selaras dengan keutamaan terhadap pembangunan infrastruktur bandar, DBKL kini melaksanakan Projek Trafik Lancar yang melibatkan tiga projek jalan bersasar di lokasi kritikal yang dikenal pasti berdasarkan analisis aliran trafik semasa serta unjuran pertumbuhan kenderaan. 

“Projek-projek ini memberi tumpuan kepada penyelesaian ‘bottleneck’ utama yang menjejaskan pergerakan harian warga kota,” kata beliau menerusi satu kenyataan akhbar.

Tiga projek jalan bersasar tersebut adalah Segambut: Pembinaan Jalan dan Terowong dari Jalan Kiara 7 ke Lebuhraya SPRINT (Penchala Link); Seputeh: Menaiktaraf Susur Keluar dari NPE ke Lebuhraya KL–Seremban dan Wangsa Maju: Menaiktaraf Persimpangan Jalan 7/24 dan MRR2 (Wangsa Melawati).

Terdahulu, Fadlun menghadiri sidang media projek penaiktarafan jalan di sekitar Kuala Lumpur yang dilakukan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.

Fadlun berkata, DBKL akan memastikan pemantauan rapi dilaksanakan sepanjang tempoh projek bagi memastikan kemajuan mengikut jadual dan kualiti kerja terjamin.

Menurut beliau, ketiga-tiga projek tersebut mencerminkan pendekatan baharu DBKL yang meletakkan hasil pembangunan kembali kepada rakyat melalui pelaburan infrastruktur yang menyelesaikan masalah sebenar bandar raya.

“DBKL komited memastikan infrastruktur berkembang seiring dengan pembangunan demi memenuhi keperluan rakyat,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI