Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) yang dilaksanakan oleh Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) terus diperluaskan bagi tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM4 juta.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, program yang menyasar penglibatan 80 tokoh wanita dan 4,000 peserta tahun inimerupakan insisitif strategik kementerian dalam usaha memperkasa kepimpinan wanita melalaui bimbingan, perkongsian pengalaman dan pembangunan kapasiti secara menyeluruh.
“Program PERANTIS menjadi platform penting untuk membina keyakinan, keupayaan serta rangkaian sokongan dalam kalangan wanita,
“Kita mahu melihat lebih ramai wanita bukan sahaja menyerlah dalam bidang masing-masing tetapi juga berani melangkah ke peringkat kepimpinan dan pembuat keputusan,”katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut Nancy berkata, tema “Menjejak Potensi, Menghargai Dedikasi” yang dipilih dilihat amat bertepatan dengan semangat PERANTIS di mana setiap tokoh dan peserta mempunyai potensi yang tersendiri dan melalui program ini.
Malah, potensi tersebut telah digilap berdasarkan pengalaman pembelajaran, bimbingan mentor serta pendedahan kepada pelbagai perspektif kepimpinan.
“Komitmen yang ditunjukkan sepanjang program ini membuktikan bahawa wanita berupaya memikul tangggungjawab kepimpinan dengan cemerlang, serta mampu menjadi sumber inspirasi kepada lebih ramai wanita,” katanya.
Turut hadir Lim Hui Ying, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Safida Zalma Mohd Piah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPWKM, Mohd Daud bin Mohd Arif, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KPWKM, Hanani Sapit, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, dan Pegawai-pegawai Kanan Jabatan dan Agensi Kementerian.
PERANTIS mula dilaksanakan pada tahun 2024 selaras dengan pengumuman Datuk Seri Anwar sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac 2024.
Tahun lalu, PERANTIS menunjukkan kejayaan memberangsangkan apabila kira-kira 1,247 peserta telah menerima bimbingan daripada 25 tokoh wanita dalam 10 bidang utama, meliputi kepimpinan, politik, ekonomi, sosial, teknologi, perundangan, keselamatan, kesejahteraan, pendidikan dan kesihatan. – MalaysiaMADANI
