Berita

Penetapan hala tuju jelas, terus pertahan kepentingan rakyat

Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) menetapkan hala tuju jelas dalam mengurus krisis tenaga global yang masih meruncing dan dijangka berlanjutan. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keutamaan negara dalam mendepani krisis tenaga global adalah melindungi kesejahteraan rakyat, di samping kekal berdisiplin dan realistik dalam setiap langkah diambil.

Beliau berkata, pendekatan utama ketika ini adalah menjamin bekalan tenaga dan barangan asas agar kehidupan harian rakyat tidak terjejas. 

“Usaha ini digerakkan melalui peranan penting PETRONAS serta perancangan awal bagi memastikan bekalan kekal mencukupi dalam bulan-bulan mendatang,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Dalam masa sama, kata beliau, tindakan menampan kenaikan kos diperkukuh melalui bantuan tambahan subsidi diesel kepada pesawah, petani, pekebun kecil dan pemilik kenderaan individu.

Menurut beliau, pengurusan permintaan turut dipertingkat melalui kecekapan penggunaan tenaga, termasuk pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi penjawat awam. 

Pada masa sama, tegas beliau, Ops Tiris dipergiat bagi membanteras ketirisan dan penyeludupan yang boleh menjejaskan bekalan minyak negara.

Bagi jangka sederhana dan panjang, Perdana Menteri menjelaskan bahawa usaha dipercepat untuk beralih kepada sumber tenaga boleh baharu sebagai langkah mengurangkan kebergantungan kepada bahan api import yang tidak menentu.

Beliau berkata, biodiesel dikenal pasti sebagai penyelesaian paling praktikal dalam tempoh terdekat, dengan peningkatan kadar adunan kepada B15 secara berperingkat menggunakan infrastruktur sedia ada. 

Tambah beliau, pendekatan tersebut membolehkan tindakan segera diambil sementara menunggu sistem baharu dibangunkan sepenuhnya.

Katanya, dengan asas industri dan kapasiti domestik yang kukuh, langkah itu bukan sahaja menstabilkan bekalan semasa, tetapi membina daya tahan tenaga negara agar kehidupan rakyat kekal terpelihara dalam menghadapi ketidaktentuan global.

“Insya-Allah, kita harungi cabaran ini dengan tekad, disiplin dan kebersamaan,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI