Berita

KDN perkukuh operasi banteras penyeludupan di perairan utara Sabah

Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan sentiasa memastikan operasi membanteras aktiviti penyeludupan dilaksanakan sebaiknya bagi mengelak berlakunya kerugian besar kepada negara.  

Bagi memastikan perkara itu dilaksanakan, Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail melihat sendiri Tinjauan Operasi Membanteras Penyeludupan dan Ketirisan Sempadan Negara Siri 2 di perairan utara Sabah.

Beliau menelusuri kawasan ‘laluan tikus’ di sempadan Malaysia dan Filipina, demi memahami cabaran sebenar yang berlaku di lapangan. 

“Pendekatan turun padang ini bukan sekadar simbolik ia memastikan setiap strategi keselamatan dirangka berasaskan realiti, tepat dan berkesan,” kata KDN dalam satu kenyataan menerusi laman media sosialnya.

Selaras dengan pengukuhan operasi, Saifuddin turut meninjau Remote Sensor Site (RSS) Balambangan yang merupakan komponen penting dalam sistem pengawasan SWASLA Sabah.

Kata kenyataan itu, kemudahan tersebut berperanan sebagai radar pemantauan, sekali gus menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pasukan penguatkuasaan dalam mengesan sebarang pergerakan mencurigakan di perairan negara.

KDN sentiasa memberikan komitmen berterusan dalam memperkukuh kawalan sempadan, membanteras penyeludupan dan memelihara kedaulatan negara. -MalaysiaMADANI