Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) komited memperkukuh daya saing industri pengilangan minyak sawit melalui penerapan teknologi, amalan kelestarian serta pembangunan modal insan bersepadu.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, selaras dengan keperluan industri yang semakin dinamik, komitmen dizahirkan menerusi penganjuran International Palm Oil Millers Conference 2026 (IPOMC 2026) anjuran The Incorporated Society of Planters (ISP).
Beliau berkata, persidangan tersebut menghimpunkan kira-kira 300 delegasi industri dan menjadi platform penting dalam membincangkan hala tuju masa depan sektor pengilangan minyak sawit.
“Kecemerlangan industri memerlukan pendekatan seimbang yang menggabungkan teknologi, amalan lestari dan pembangunan bakat sebagai asas kepada industri yang kukuh dan berdaya saing,” katanya dalam satu kenyataan.
Kata beliau, penggunaan teknologi seperti pendigitalan, automasi, analitik data dan kecerdasan buatan (AI) mampu meningkatkan kecekapan operasi, mempertingkat kawalan kualiti, mengurangkan gangguan operasi serta membolehkan penyelenggaraan yang lebih proaktif melalui penggunaan data.
Dalam masa yang sama, menurut beliau, aspek inovasi dan penyelidikan turut diberi penekanan bagi meneroka pendekatan baharu termasuk pembangunan produk yang lebih mampan dan memenuhi keperluan pasaran yang semakin berubah.
Sejajar dengan itu, beliau berkata, kelestarian terus menjadi keutamaan melalui pengurusan sumber yang bertanggungjawab, peningkatan kecekapan tenaga serta pengurangan sisa.
Tambahnya, pematuhan kepada piawaian seperti Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) serta pengurusan isu keselamatan makanan termasuk 3-MCPD dan ‘glycidyl esters’ adalah penting bagi memastikan reputasi industri terus terpelihara serta akses pasaran antarabangsa kekal terjamin.
Selain itu kata beliau, pembangunan modal insan akan terus diperkasa melalui pelaburan dalam pendidikan, latihan berterusan serta pembangunan kepimpinan bagi memastikan tenaga kerja industri kekal berkemahiran tinggi dan bersedia menghadapi perubahan.
Jelasnya, kerjasama erat antara pemain industri, agensi kerajaan dan institusi akademik turut menjadi elemen penting dalam membangunkan ekosistem industri yang lebih mampan, inovatif dan berdaya tahan.
“KPK yakin melalui pendekatan bersepadu yang menekankan penggunaan teknologi, pengukuhan amalan kelestarian dan pembangunan bakat, industri pengilangan minyak sawit negara akan terus kekal berdaya saing serta relevan di peringkat global,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
