Kerajaan Persekutuan bersama Kerajaan Negeri Sabah telah menggerakkan bantuan segera bagi meringankan beban mangsa kebakaran di Sandakan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan diberikan berupa sumbangan tunai, sokongan kepada anak-anak untuk kembali ke sekolah serta penggantian dokumen penting.
Beliau berkata, semua bantuan diberikan akan dilaksanakan tanpa berlengah agar semua mangsa kebakaran dapat bangkit semula dengan lebih yakin dan bermaruah.
“Ini bukan sekadar bantuan, tetapi cerminan ihsan dan tanggungjawab kita memastikan tiada yang ditinggalkan dalam saat getir ini,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Terdahulu Perdana Menteri meluangkan masa melakukan lawatan kerja ke Sandakan bagi menyantuni mangsa kebakaran yang kehilangan segalanya dalam sekelip mata.
Perdana Menteri mengakui hatinya benar-benar luluh melihat anak-anak kecil yang masih belum mengerti apa yang terjadi, sementara ibu bapa menahan tangis dalam diam dan keluarga yang hanya bergantung pada sisa kekuatan yang ada.
Jelas beliau, semua semua itu bukan sekadar ujian, tetapi derita yang sangat menyayat dan menyentuh hati.
Namun di celah duka yang begitu berat, beliau menyaksikan sesuatu yang jauh lebih besar iaitu ketabahan. Mereka tidak rebah, sebaliknya terus bertahan.
Tegas beliau, Kerajaan Persekutuan tidak akan sesekali membiarkan kumpulan mangsa kebakaran bersendirian.
“Sumbangan segera telah dan sedang digerakkan meliputi bantuan wang ihsan untuk keluarga dan pelajar sekolah, keperluan asas, tempat perlindungan sementara serta sokongan berterusan dengan kerjasama erat Kerajaan Negeri,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
