MENTERI Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan Program Inovasi Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat (PINTAR) dilaksanakan bagi memastikan peningkatan produktiviti sektor agromakanan negara.
PINTAR jelas beliau, bukan konsep baharu tetapi ia dilihat penting dalam memastikan kelestarian sektor agromakanan negara bergerak seiring dengan keperluan semasa khasnya dalam menghadapi situasi geopolitik dan ekonomi dunia serta cabaran perubahanb iklim yang kian membelenggu.
“Ia merupakan pelaksanaan dan pembudayaan inovasi dan re-engineering dalam semua aspek rantaian nilai sektor agromakanan.
“Konsep PINTAR ini adalah game changer dalam usaha KPKM untuk mereformasi sektor agromakanan,”katanya.
Mohamad pada masa sama berkata, PINTAR akan menekankan lima strategi utama melibatkan pembangunan kapasiti industri dan infrastruktur, reformasi institusi dan tatakelola, penyelidikan pembangunan, pengkomersilan dan inovasi .
Manakala teras keempat adalah teknologi mekanikasi dan automasi dan kelima, perluasan jaringan kerjasama berkonsepkan whole of government, whole of approach dan food diplomacy.
“Kesemua lima teras strategik PINTAR adalah petunjuk yang kritikal kepada pembangunan, pengembangan dan pengukuhan sektor agromakanan negara yang merangkumi sektor tanaman, ternakan, perikanan dan industri asas tani di sepanjang rantaian pengeluaran dan nilai,”katanya. – MalaysiaMADANI