Berita

Jaga keselamatan diri dan keluarga, elak jangkitan virus Influenza

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan orang ramai untuk menjaga kesihatan diri dan keluarga dengan sebaiknya terutama ketika mana jerebu yang semakin memburuk di kebanyakan kawasan.

Selain itu, gejala jangkitan saluran pernafasan susulan penularan kluster Influenza turut berlaku termasuk di Ipoh, Perak.   

KKM berkata, Influenza adalah jangkitan virus pada saluran pernafasan yang boleh menyebabkan demam, selesema dan batuk.

Selain itu katanya, jangkitan virus tersebut juga boleh menjejaskan golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas dan wanita mengandung.

“Jika bergejala, amalkan langkah pencegahan berikut seperti berehat di rumah, tutup hidung dan mulut ketika batuk atau bersin.

“Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan untuk elak berkongsi peralatan peribadi dan mendapatkan rawatan doktor jika gejala berterusan,” kata KKM menerusi laman media sosialnya.

Selain itu menurut KKM, orang ramai juga dinasihatkan untuk mengamalkan etika ketika batuk dan bersin yang betul kerana ia adalah cara selamat untuk menguruskan gejala tersebut daripada merebak.

Dalam masa yang sama jelasnya, etika tersebut bukan sahaja sopan, malah berupaya melindungi orang sekeliling daripada risiko penyakit berjangkit respiratori yang tersebar melalui titisan pernafasan apabila individu bergejala bersin dan batuk.

Justeru itu katanya, amat penting bagi setiap lapisan masyarakat mengamalkan etika ini bagi mengelakkan penyebaran jangkitan terutamanya di tempat awam. 

“Tegur sekiranya perlu, saling berpesan dan jadikan ia kebiasaan baharu. Bersama kita perkukuh langkah pencegahan bagi memastikan rakyat kekal sihat dan sejahtera,” ujarnya. -MalaysiaMADANI