Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melakukan lawatan kerja rasmi bagi meninjau serta membuat penilaian berhubung tawaran penerimaan sebuah kapal ex-USCGC VALIANT daripada Kerajaan Amerika Syarikat.
Lawatan kerja rasmi tersebut yang diadakan di Waterfront Operations Training Center (WOTC), United States Coast Guard (USCG) telah disertai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Dr Awang Alik Jeman bersama Ketua Pengarah Maritim, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah.
Maritim Malaysia dalam kenyataannya berkata, lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkukuh keupayaan aset agensi keselamatan itu menerusi kerjasama strategik antara Malaysia dan Amerika Syarikat, susulan kejayaan pelaksanaan penerimaan KM BENDAHARA pada 2025.
Sepanjang lawatan itu katanya, delegasi telah diberikan taklimat komprehensif berhubung status serta kebolehupayaan kapal yang meliputi sistem pendorongan dan jentera utama, janakuasa, sistem navigasi dan komunikasi, sistem persenjataan, alat ganti serta pelbagai aspek teknikal dan logistik yang berkaitan.
“Delegasi turut mengadakan pemeriksaan fizikal ke atas kapal bagi menilai tahap kesiapsiagaan, keupayaan operasi serta kesesuaiannya untuk memenuhi keperluan pengoperasian Maritim Malaysia dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan undang-undang, keselamatan maritim dan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT),” kata Maritim Malaysia menerusi media sosial rasminya.
Menurutnya, lawatan turut membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan mengenai aspek pengoperasian, penyelenggaraan serta sokongan teknikal, sekali gus memperkukuh hubungan kerjasama strategik yang telah sekian lama terjalin antara Maritim Malaysia dan United States Coast Guard.
Tambahnya, usaha penilaian itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasakan keupayaan aset Maritim Malaysia, sekali gus meningkatkan kesiapsiagaan operasi bagi memastikan keselamatan, kedaulatan dan kepentingan maritim negara terus terpelihara. -MalaysiaMADANI
