Berita

Semua pihak perlu kerjasama tangani isu air: PETRA

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) komited untuk menerajui inisiatif mampan air dalam menangani isu kritikal termasuk nasionalisasi tarif dan penggunaan meter pintar.

Menterinya, Datuk Seri Fadilah Yusof berkata, Pelan Transformasi Air PETRA adalah satu langkah penting ke arah penstrukturan semula dan pengukuhan sektor air negara.

“Menyedari keperluan penglibatan semua pihak berkepentingan, kami mengutamakan kerjasama untuk memastikan perkhidmatan air bertaraf dunia di Malaysia sepanjang dekad akan datang.

“Dalam mengharungi era baharu tadbir urus, PETRA komited untuk menerajui inisiatif mampan untuk mentransformasikan air,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Makan Malam Tahunan dan Malam Anugerah (Persatuan Air Malaysia) MWA ke-36 bersama barisan profesioanal dan peneraju dalam sektor air Malaysia.

Pada majlis berkenaan, beliau turut menyampaikan pemenang Anugerah AIr MWA Malaysia dan Anugerah Industri SPAN.

Beliau pada masa sama menyeru semua pihak berganding bahu dengan PETRA dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi melakukan perubahan besar dalam memperkasakan kepentingan pengurusan air negara.

“Marilah sama-sama maju ke hadapan, berganding bahu dengan PETRA dan SPAN untuk laksanakan perubahan yang lebih cerah bagi sektor air Malaysia. Bersama-sama, kita bersedia untuk merealisasikan aspirasi kolektif kita, ” katanya. – MalaysiaMADANI