Berita

Kerajaan MADANI perluas perlindungan bil elektrik kepada pengguna domestik sehingga 800 kWj

Merasai beban kos sara hidup kumpulan masyarakat terbesar, Kerajaan MADANI memutuskan untuk menambah baik subsidi bil elektrik untuk rakyat dengan memperluaskan tahap perlindungan daripada 600 kWj kepada 800 kWj sebulan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan itu berkuat kuasa bagi penggunaan elektrik bermula September hingga 31 Disember 2026. 

Tegas beliau, langkah yang diambil oleh Kerajaan MADANI itu sebagai tindakan segera bagi menangani tekanan hidup rakyat pada masa ini.

 “Melalui langkah ini, pengguna domestik yang menggunakan elektrik sehingga 800 kWj sebulan akan diberikan perlindungan melibatkan pengecualian Pelarasan Kos Bahan Api Automatik (AFA), Caj Peruncitan dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (Sales & Service Tax).

“Sekalung penghargaan khususnya kepada pihak TNB, PETRA dan Suruhanjaya Tenaga atas peranan mereka dalam memungkinkan langkah ini diambil dalam kadar segera,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Beliau berkata, keadaan jerebu serta cuaca yang lebih panas mutakhir ini telah mendorong peningkatan penggunaan elektrik dalam kalangan sebahagian isi rumah, menyebabkan penggunaan bulanan mereka melepasi paras 600 kWj dan menyebabkan kenaikan bil yang luar biasa.

Justeru itu kata beliau, Kerajaan MADANI akan terus memantau rapi perkembangan kos bahan api dan keadaan pasaran tenaga semasa bagi memastikan sebarang keputusan berkaitan tarif elektrik mengambil kira keseimbangan antara kemampuan dan beban hidup rakyat, keterjaminan bekalan elektrik dan kemampanan sektor tenaga negara. -MalaysiaMADANI