Berita

Pembaharuan fiskal bantu kukuh keyakinan pelabur ke negara ini

PEMBAHARUAN fiskal yang dilaksanakan kerajaan termasuk pengurangan defisit, subsidi bersasar dan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) 2023 telah membantu memperkukuh lagi keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pertemuan dengan pelbagai pelabur antarabangsa, pengurus dana dan bank pelaburan trelah dilakukan bagi berkongsi pandangan tentang kedudukan ekonomi semasa negara selain perancangan kerajaan.

Pertemuan berkenaan berlangsung ketika Amir Hamzah mengetuai delegasi Malaysia ke New York, Amerika Syarikat (AS) pada 14 hingga 16 April lalu.

“Semasa sesi dialog dengan pelabur pasaran kewangan dan modal, Malaysia telah berkongsi perkara penting Kerangka Ekonomi MADANI dan bagaimana kerangka ini akan mendorong Malaysia menjadi destinasi pelaburan yang berdaya saing di peringkat global,” kata MoF dalam kenyataan.

Dalam sesi libat urus berkenaan kira-kira 50 pelabur global dalam pelbagai bidang industri dan perniagaan terlibat.

“Sesi tersebut penting bagi memberi penjelasan mengenai perkembangan dasar utama kerajaan termasuk pembaharuan fiskal untuk memastikan kemampanan fiskal dan hutang negara,” katanya lagi.

Mesyuarat bersama pelabur tersebut diadakan bersempena Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Kumpulan Bank Dunia 2024 di Washington yang bermula pada 17 hingga 19 Aril ini.

Pertemuan berkenaan turut disertai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Abdul Rasheed Abdul Ghaffour. – MalaysiaMADANI