Berita

KDN bincang isu kenaikan elaun RELA dengan MoF

Kementerian Dalam Negeri (KDN) meneruskan rundingan dengan Kementerian Kewangan (MoF) bagi menyemak semula kadar kenaikan elaun baharu berdasarkan jam tugasan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), kata Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail .

Tegas beliau, kadar elaun semasa RELA sebanyak RM8 sejam dilihat tidak lagi sepadan dengan kadar gaji minimum terkini memandangkan anggota bertugas selama lapan jam sehari untuk tempoh 24 hari hanya menerima RM1,536, sekali gus masih di bawah kadar gaji minimum RM1,700.

“Jadi kita telah bersetuju secara prinsip dengan Kementerian Kewangan untuk melihat kemungkinan menaikkan kadar elaun ini. 

“Cuma kadarnya belum diputuskan lagi. Saya minta Ketua Setiausaha KDN bincang dengan pihak RELA untuk mendapatkan satu kadar yang munasabah.

“Kita tengok kadar dalam industri keselamatan, mungkin sekitar RM12 hingga RM13 sejam, tetapi untuk RELA mungkin tidak sampai ke tahap itu,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, cadangan berkenaan pebting berikutan kadar elaun semasa tidak sepadan dengan tempoh masa Rela menjalankan tugasan sehingga lapan atau 12 jam sehari.

Yang penting, kita mahu kadar elaun ini lebih munasabah dan setimpal dengan tugas serta tanggungjawab anggota RELA,” katanya.

Terdahulu, Saifuddin menjelaskan pihaknya telah memulakan perbincangan awal dengan MoF ketika sesi rundingan Belanjawan 2027.

Katanya, kepimpinan tertinggi kementerian  juga diarah melakukan perundingan lanjutan ini agar kadar baharu dapat dimuktamadkan secara rasmi.

“Saya arahkan supaya proses rundingan elaun baharu ini tidak boleh memakan masa yang terlalu lama bagi membolehkan kadar baharu itu dikuatkuasakan seawal tahun kewangan terdekat,” katanya. – MalaysiaMADANI