Uncategorized

KPKM pastikan setiap ringgit wang awam diurus dengan amanah – Mohamad Sabu

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan terus memperkukuh pemantauan terhadap aspek tata kelola, integriti dan pengurusan kewangan di semua agensi serta anak syarikat di bawah kementerian itu.

Jaminan itu diberikan oleh menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, sambil menegaskan setiap organisasi di bawah seliaannya perlu diurus secara telus, berintegriti serta mematuhi sepenuhnya peraturan dan tatacara yang ditetapkan.

“Sebarang kelemahan dalam pengurusan, ketidakpatuhan atau perkara yang berpotensi menjejaskan kepentingan awam perlu dikenal pasti dan diambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Dalam masa sama,  Mohamad berkata, pengurusan agensi dan anak syarikat juga perlu memastikan setiap keputusan, urusan perolehan serta penggunaan dana awam dilaksanakan secara bertanggungjawab, telus dan boleh dipertanggungjawabkan.

Beliau turut menegaskan bahawa aspek integriti dan tata kelola tidak boleh dikompromi bagi memastikan amanah rakyat sentiasa terpelihara.

“Amanah rakyat mesti dijaga dan setiap ringgit wang awam perlu diurus dengan sebaik-baiknya,” tegas kementerian itu.

Langkah berkenaan mencerminkan komitmen berterusan KPKM untuk memastikan pengurusan agensi dan anak syarikat di bawahnya dilaksanakan secara berintegriti, cekap dan berteraskan kepentingan rakyat – MalaysiaMADANI