Berita

KPKM zahir komitmen kekal berintegriti tinggi, jalin kerjasama strategik bersama SPRM

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) terus memperkukuh komitmen tinggi terhadap agenda tatakelola dan prinsip integriti menerusi kerjasama rapat bersama  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

Kerjasama erat itu diterjemahkan oleh pihak kementerian menerusi kunjungan hormat ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman di Ibu Pejabat SPRM.

Delegasi kementerian yang diketuai oleh Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak bersama pegawai KPKM telah disambut mesra oleh Abdul Halim.

KPKM berkata, pertemuan itu menjadi medan perbincangan strategik dalam memantapkan tatakelola pengurusan, pematuhan undang-undang serta pencegahan ketirisan dalam pelaksanaan peranan kementerian sebagai peneraju utama sektor agromakanan negara. 

“Langkah ini penting bagi memastikan setiap inisiatif di bawah KPKM dilaksanakan secara telus, cekap dan berintegriti demi memastikan keterjaminan makanan untuk rakyat,” kata KPKM menerusi laman media sosialnya.

Dalam pertemuan ini, KPKM berkata, Isham mencadangkan Akta 605 disemak semula untuk memperkemas tatakelola Badan Berkanun.

Malah menurutnya, KPKM turut memberi jaminan untuk sentiasa komited berkerjasama rapat dengan SPRM demi memastikan ekosistem pertanian negara bebas daripada sebarang amalan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Turut hadir dalam sesi pertemuan itu adalah Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar; Ketua Unit Integriti KPKM, KPKPj Salwa Muharam dan Penasihat Undang-Undang KPKM, Mohd Mazran Mohd Mazlan. -MalaysiaMADANI