Berita

Krisis Timur Tengah: KPT pantau situasi mahasiswa

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa memantau perkembangan semasa mahasiswa Malaysia di Timur Tengah susulan krisis Iran – Israel yang sedang berlaku.

KPT dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerusi pejabat Education Malaysia (EM) di Jordan dan Dubai sentiasa berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia di Tehran, dan Jordan bagi mendapat maklumat terkini keadaan mahasiswa Malaysia di sana.

“KPT mengambil maklum situasi terkini pergolakan yang berlaku di Asia Barat yang membabitkan Iran dan Israel serta secara tidak langsung memberi tempias kepada negara sekitarnya seperti Jordan, Syria, Lebanon dan Iraq.

KPT bagaimanapun menjelaskan pihaknya akan terus berbincang dengan pihak tertentu untuk tindakan selanjutnya termasuk akan membawa pulang pelajar-pelajar berkenaan.

Sehingga kini 1,917 pelajar berdaftar dengan KPT dan daripada jumlah itu, seramai 1,872 orang berada di Jordan manakala 37 orang di Syria, lapan pelajar di Iran dan tiada pelajar Malaysia di Lebanon serta Iraq, ketika ini.

KPT pada masa sama menggesa pelajar Malaysia yang berada di negara berkenaan supaya terus bertenang dan sentiasa berwaspada dengan situasi semasa selain sentiasa mematuhi pihak berkuasa.

Ibu bapa yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai perkara ini boleh terus menghubungi Kedutaan Malaysia di Tehran di talian (+9821) 88072444 (+9821) 88078606 atau e-mel di alamat mwtehran@kln.gov.my mwconsular.teh@gmail.com.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan Kor Pengawal Revolusi Iran memulakan operasi serangan dron, menyasarkan lokasi di dalam wilayah yang diduduki Israel. – MalaysiaMADANI