Berita

Pelan Strategik Semikonduktur pastikan Malaysia destinasi pelaburan utama

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) merangka Pelan Strategik Semikonduktor secara menyeluruh bagi memastikan Malaysia terus kekal sebagai destinasi pelaburan terpilih bagi industri strategik ini, kata Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, tindakan berkenaan penting bagi menarik minat pelbagai syarikat semikonduktor antarabangsa untuk menubuhkan fasiliti pembuatan semikonduktor berkualiti tinggi di Malaysia.

“Pelan Strategik ini akan turut meliputi pakej insentif yang lebih menarik bagi mempertingkatkan kemasukan pelaburan strategik dalam semikonduktor berteknologi tinggi, khususnya bagi menggalakkan lebih banyak aktiviti front-end dalam industri semikonduktor di Malaysia,” katanya.

Perkara berkenaan diputuskan ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) di Putrajaya.

Pada mesyuarat sama beliau turut meneliti cadangan pembangunan Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) dan bersetuju dilaksanakan secara usaha sama oleh syarikat pelaburan berkaitan Kerajaan (GLIC) dengan kerjasama Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Perak.

Persetujuan berkenaan tegas beliau merupakan titik tolak kepada usaha Kerajaan MADANI untuk mempercepatkan pembangunan KIGIP.

“Ia dilihat sebagai salah satu pemangkin utama bagi menarik pelaburan hijau ke dalam negara,” ujarnya.

Pengoperasiaan KIGIP itu akan dijana sepenuhnya dengan Tenaga Boleh Baharu (TBB) selari dengan aspirasi negara ke arah mencapai neutral karbon seawal 2050. – MalaysiaMADANI.