Berita

Segerakan gencatan senjata di Gaza, salur bantuan kemanusiaan – PM

Penyelesaian serta-merta yang adil terhadap keadaan yang tidak berperikemanusiaan di Gaza perlu dilakukan segera, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, gencatan senjata yang berkekalan mesti diwujudkan bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan.

“Kunci penyelesaian kepada isu ini adalah penyelesaian serta merta yang adil terhadap keadaan yang melanda Gaza.

“Masyarakat antarabangsa perlu memberikan tumpuan kepada isu berkenaan tanpa ada gangguan lain,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Sidang Majlis Keselamatan Negara yang diadakan dua hari berturut-turut bagi membincangkan situasi tegang di Timur Tengah.

Mesyuarat tersebut turut disertai Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Khaled bin Nordin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Selain itu, Ketua Setiusaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki bin Ali, dan pegawai-pegawai kanan kerajaan turut serta dalam mesyuarat berkenaan.

Dalam perkembangan sama Anwar berkata, krisis Iran-Israel hanya memberi kesan kecil kepada negara.

Katanya, Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) dibuka dengan kejatuhan yang amat kecil, mencerminkan trend serantau.

Bagaimanapun Anwar memberi jaminan kerajaan Madani akan terus memantau perkembangan dengan teliti selain mengambil langkah proaktif.

Katanya ia penting bagi memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat akan sentiasa terjamin.

Malah, kepentingan negara akan sentiasa menjadi matlamat utama.

Dalam situasi sama, Anwar berkata, Malaysia akan menyalurkan sumbangan terbaharu iaitu 100 kontena kepada rakyat Gaza yang dijangka akan berlepas 27 April ini. – MalaysiaMADANI