Berita

Kerjasama rakan strategik perkasa wanita, kukuh institusi keluarga: Nancy Shukri

Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Sri Nancy Shukri berkata, jalinan kerjasama sebagai usaha meningkatkan jaringan sinergi dengan pelbagai pihak dalam memperkasakan wanita dan memperkukuh institusi keluarga.

“Jalinan kerjasama dengan rakan strategik wanita dan keluarga ini diharapkan dapat memaksimumkan perkongsian maklumat dan membina kapasiti.

“Selain (itu) diyakini mampu meminimumkan pertindihan usaha antara kerajaan dengan badan bukan Kerajaan,” katanya.

Terdahulu, beliau merasmikan Sesi Libat Urus Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat bersama dengan Rakan Strategik Wanita dan Keluarga selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Wanita dan Keluarga Negara (MWKN) di ibu negara.

Pada sesi libat urus itu, Nancy juga berkongsi beberapa inisiatif yang berjaya dilaksanakan dalam usaha memperkukuh institusi keluarga dan memperkasakan Wanita.

“Kita telah melancarkan Garis Panduan Pelaksanaan Program Advokasi Antigangguan Seksual, menubuhkan Tribunal Antigangguan Seksual dan Penubuhan Pusat Subfertiliti Negara Pertama,” katanya dalam kenyataan.

Nancy pada masa sama, menghargai kerjasama rakan strategik yang hadir antaranya Perbendaharaan Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Turut menyertai sesi berkenaan Kementerian Sumber Asli Dan Kelestarian Alam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Sumber Manusia.

Manakala NGO dan persatuan antaranya Malaysian Gas Assoc, Women of Will, Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA), Women Leadership Foundation, Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (NCWO) Malaysia dan Women Leadership Foundation. – Malaysia MADANI