Berita

Institut Kesihatan Negara berpotensi jadi pusat penyelidikan berkualiti dan maju

Institut Kesihatan Negara (NIH) merupakan tunjang kepada penyelidikan perubatan negara dan berpotensi menjadi pusat penyelidikan yang berkualiti tinggi dan maju.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berharap misi pelaksanaan transformasi Kesihatan dapat dipertingkatkan agar segala pengupayaan di NIH sejajar dan menepati matlamat digitalisasi yang digariskan.

“Saya berpuas hati berhubung hala tuju dan status terkini penyelidikan herba yang dijalankan ketua Pusat Penyelidikan Perubatan Herba (HMRC), Dr. Ami Fazlin Syed Mohamed dalam mengembangkan penyelidikan pra klinikal produk herba berstandard tinggi.

“Lawatan ke makmal IMR untuk mengetahui status terkini penyelidikan vaksin iaitu vaksin ternyahaktif (in-activated) dan mRNA vaksin, yang merupakan kunci dalam memerangi wabak.

“Di Makmal Penyimpanan Atropod (ACL) pula, saya meneliti input taklimat yang diberikan berkaitan kajian penyelidikan serangga pembawa penyakit termasuk tempat pemeliharaan nyamuk Aedes berWolbachia, suatu penyelidikan penting dalam menghalang penyebaran penyakit,” katanya yang kenyataan yang dimuat naik di Facebook, hari ini.

Dalam lawatan berkenaan beliau turut dibawa melawat Unit Informasi Kesihatan Integratif, Fitokimia, Bioasai, Toksikologi dan Farmakologi serta Seksyen Good Laboratory Practice (GLP), Pusat Penyelidikan Perubatan Herba menjalankan penyelidikan pra klinikal untuk pembangunan produk herba.

Beliau dan delegasi turut dibawa melawat makmal Pusat Penyelidikan Perubatan Herba (HMRC) dan telah diberi taklimat berhubung hala tuju dan status terkini penyelidikan herba.

Tidak ketinggalan mereka juga diberikan taklimat berhubung status terkini penyelidikan vaksin iaitu iaitu vaksin ternyahaktif (in-activated) dan mRNA vaksin yang dijalankan oleh penyelidik IMR.

Institut Kesihatan Negara (NIH) merupakan institusi penyelidikan yang memberi tumpuan terhadap penyelidikan kesihatan untuk menyokong KKM dan pihak berkepentingan dalam memastikan kesejahteraan rakyat.

Buat masa ini, terdapat enam institut penyelidikan iaitu Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Institut Kesihatan Umum (IKU), Institut Penyelidikan Klinikal (ICR), Institut Penyelidikan Sistem Kesihatan (IHSR), Institut Pengurusan Kesihatan (IHM) dan Institut Penyelidikan Tingkah Laku Kesihatan (IPTK). – Malaysia MADANI