Berita

KEB 2024 agenda kerajaan lonjak pembangunan Bumiputera : PM

Kongres Bumiputera 2024 (KEB2024) akan menjadi agenda penting Kerajaan MADANI bagi merombak dan melonjak pembangunan sosioekonomi Bumiputera secara menyeluruh, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, tindakan berkenaan penting supaya sosioekonomi Bumiputera berkembang maju secara progresif dan inovatif.

“KEB 2024 menjadi antara agenda penting Kerajaan MADANI bagi merombak dan melonjak pembangunan sosioekonomi Bumiputera secara menyeluruh supaya berkembang maju secara progresif dan inovatif,” katanya melalui hantaran di Facebook rasminya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Ekonomi Bumiputera.

Dalam mesyuarat berkenaan, beliau turut mendengar pandangan daripada wakil-wakil Dewan Perniagaan Melayu, Cina, India dan juga Bumiputera Sabah dan Sarawak, selari dengan konsep dasar dan penyertaan yang merentasi dimensi kaum.

Malah beliau turut berharap kongres berkenaan mampu menjadi lokasi untuk menghimpunkan idea-idea bernas dalam perancangan untuk pemerkasaan bumiputera akan datang.

“Menjadi harapan Kerajaan supaya kongres ini berjaya mengumpul idea-idea bernas dan menjadi titik tolak kepada perencanaan Agenda Baharu Pemerkasaan Bumiputera untuk tempoh 10 tahun akan datang,” katanya. – Malaysia MADANI