Berita

JPM rangka program pendidikan Al-Quran bersama agensi dan masyarakat

Beberapa program Pendidikan al-Quran akan dirangka kepada masyarakat dengan kerjasama pelbagai pihak lain, kata Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, Institusi masjid dan surau khususnya akan terus diupayakan kepada masyarakat untuk mempelajari serta memahami kupasan dan tafsiran al-Quran.

“JPM dengan kekuatan seluruh agensi akan sentiasa erat bekerjasama untuk merangka dan menggerakkan program-program pendidikan Al-Quran kepada masyarakat.

“Usaha -usaha yang kreatif dan interaktif juga akan diusahakan untuk kita mendekati anak-anak muda agar memahami serta menghayati al-Quran.,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen al-Quran Peringkat Kebangsaan 2024 yang mengangkat tema “Meneroka Rahsia Alam Melalui Ayat-Ayat Kauniyyah” di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya.

Katanya, usaha memahami ayat-ayat Kauniyyah (tanda-tanda kebesaran) diyakini memberi kefahaman kepada masyarakat tentang kepentingan keagungan al-Quran dan alam.

Langkah itu sekali gus akan melestari keseimbangan unsur-unsur kerohanian, spiritual serta hubungan sesama manusia.

“Ayat -ayatnya akan membahaskan tentang penciptaan seperti langit, bumi, bulan, bintang, gunung-ganang, lautan, angin dan lain-lain yang memberikan pengajaran tentang tanda-tanda kebesaran Allah,” katanya.

Malah, pentafsiran al -Quran berkaitan ayat-ayat Kauniyyah turut menyumbang kepada pendekatan kesepaduan sains dan wahyu. – Malaysia MADANI