Berita

Semua pihak digesa gembleng tenaga tingkatkan potensi, hak wanita : Nancy Shukri

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menggesa semua pihak untuk berganding bahu bagi menggembleng tenaga ke arah meningkatkan potensi dan hak wanita.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, langkah berkenaan penting bagi menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

“Saya menyeru komitmen dan kerjasama daripada semua pihak untuk berganding bahu dengan KPWKM bagi menggembleng tenaga, usaha dan inisiatif ke arah meningkatkan potensi dan hak Wanita,” katanya selepas merasmikan Persidangan Hak Wanita 2024.

Program anjuran Badan Peguam Malaysia yang membawa tema “Unveiling Voices, Breaking The Bridle” diadakan untuk berkongsi usaha pemerkasaan wanita dan kesaksamaan gender di negara ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr Maziah Che Yusoff, Presiden Badan Peguam Malaysia, Karen Cheah Yee Lyn dan ketua-ketua Jabatan dan Agensi KPWKM.

Nancy pada majlis sama, berkongsi beberapa inisiatif kementerian dalam meningkatkan penyertaan wanita dalam sama-sama menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Ia antaranya seperti penubuhan taska di tempat kerja, cuti penjagaan anak dan subsidi yuran taska sebanyak RM180 sebulan bagi setiap seorang anak. – Malaysia MADANI