Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus komited memperkukuh agenda pembanterasan rasuah negara dengan memanfaatkan teknologi terkini bagi mendepani landskap jenayah rasuah yang semakin kompleks dan mencabar.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, ancaman seperti pengubahan wang haram, penyalahgunaan kuasa, ketirisan dana awam serta jenayah rentas sempadan kini semakin canggih dan memerlukan pendekatan yang lebih strategik, pantas serta berteraskan teknologi.
Menurut beliau, penggunaan teknologi digital, analitik data dan kecerdasan buatan (AI) perlu diperkasakan secara menyeluruh merangkumi aspek risikan, siasatan, forensik digital, pendakwaan serta pengurusan organisasi bagi memastikan SPRM kekal berdaya saing, responsif dan relevan dalam menghadapi cabaran masa hadapan.
“Namun begitu, usaha membanteras rasuah bukanlah tanggungjawab SPRM semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen dan kerjasama padu daripada seluruh ekosistem negara melibatkan kementerian, agensi kerajaan, sektor swasta, badan bukan kerajaan serta masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Abd Halim menghadiri Mesyuarat Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Bilangan 2 Tahun 2026.
Mengulas lanjut, Abd Halim menegaskan bahawa LPPR merupakan rakan strategik penting yang memainkan peranan sebagai mekanisme semak dan imbang bagi memastikan setiap dasar, strategi dan tindakan SPRM sentiasa berada pada landasan tepat serta selaras dengan kepentingan negara.
Menurut beliau, SPRM hari ini berdiri atas asas kukuh sejak penubuhannya pada 1967 dan menjadi tanggungjawab kepimpinan sedia ada untuk meneruskan kesinambungan tersebut dengan memperkukuh segala yang telah baik serta menambah baik ruang-ruang yang masih boleh dipertingkatkan demi memperkasakan institusi tersebut.
Beliau turut berharap hubungan strategik antara SPRM dan LPPR akan terus diperkukuhkan dalam usaha membina sebuah institusi pencegahan rasuah lebih mantap, berintegriti dan terus mendapat kepercayaan rakyat. -MalaysiaMADANI
