Berita

KKDW bantu 1,200 usahawan desa kuasai perniagaan digital

Kira-kira 1,200 usahawan luar bandar akan beralih kepada perniagaan pendigitalan tahun ini dalam usaha merapatkan jurang digital selain bantu usahawan desa tingkatkan produktiviti mereka.

Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, sebanyak RM1.7 juta diperuntukkan dalam menjayakan program ini bagi memberi pendedahan secara langsung dan praktikal mengenai pendigitalan perniagaan menerusi 12 modul dengan kerjasama pelbagai pihak.

“Program Pendigitalan Usahawan Desa di bawah Program Desamall ini adalah inisiatif tambahan yang dilaksanakan untuk merapatkan jurang digital dengan membantu usahawan desa meningkatkan produktiviti, kecekapan.

“Ia juga sebagai persediaan kepada golongan usahawan itu menjalankan perniagaan secara dalam talian selaras perkembangan teknologi terkini dan situasi ekonomi semasa” ujarnya.

Terdahulu beliau merasmikan Program Pendigitalan Usahawan Desa (PPU) Siri 1 di Kota Damansara.

Katanya menerusi Program PPU ia bukan sahaja dapat membantu golongan usahawan menambahbaik operasi perniagaan tetapi mampu mengembangkan perniagaan.

Malah ia diyakini meningkatkan produktiviti serta kecekapan pengurusan perniagaan.

Perkembangan positif tersebut direalisasikan melalui pendedahan dan latihan mengenai aplikasi digital perniagaan terkini dan bantuan berkaitan pendigitalan perniagaan bersama 22 rakan strategik.

Antaranya, Bank Islam, Bank Simpanan Nasional (BSN), Maybank, Mesinkira, Fasspay, CelcomDigi, Maxis, Lalamove, ShopeeFood, Maybank Sama-sama Lokal.

Turut terlibat adalah Lazada, Shopee, Peasy, MyMall, Petron Malaysia, Halal Development Corporation (HDC), IPVolusi, TikTok Shop Malaysia dan Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd (MDeC) dan serta Dattel Sdn Bhd.

Katanya, bimbingan berkenaan meliputi pendigitalan kewangan, ‘point-of-sale’ atau gudang digital, pengurusan gerbang bayaran, akses internet yang optimum, aplikasi perkhidmatan ‘on demand’ dan platform e-dagang.

Ia juga melibat bimbingan mengenai peruncitan digital, route to halal, tanda dagangan, penghasilan kandungan dan pemasaran afiliasi, peningkatan perniagaan dari taraf Nano ke PKS serta yang terkini bagi tahun ini.

Selain itu, bimbingan juga turut ditumpukan berkaitan solusi teknologi kecerdasan buatan (A.I.) dan Consumer Intelligence (C.I.) dalam membantu usahawan mengenalpasti keperluan perusahaan yang dijalankan.

Sepanjang program dilaksanakan pada 2022 dan 2023, seramai 2,524 usahawan mendapat manfaat menerusi sembilan siri program. – Malaysia MADANI