Eksport bahan halal Malaysia mencatat pertumbuhan memberangsangkan apabila meningkat 58.5 peratus dalam tempoh lima tahun, mencecah RM94.76 bilion bagi tempoh 2021 hingga 2025.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, rantau Asia kekal sebagai pasaran terbesar dengan sumbangan sebanyak 63 peratus daripada keseluruhan eksport, bersamaan RM59.66 bilion.
“Selain Asia, negara seperti China, India, Belanda, Jepun dan Amerika Syarikat merupakan antara destinasi eksport utama bahan halal Malaysia.
“Pencapaian baik ini sekali gus memperluas jejak pasaran halal negara di peringkat antarabangsa,” kata MITI menerusi laman media sosialnya.
Menurutnya, pencapaian memberangsangkan itu didorong oleh usaha berterusan pihak kementerian melalui agensi seperti Halal Development Corporation (HDC) bagi memperkukuh ekosistem halal negara.
Katanya lagi, kerjasama tersebut turut berupaya meningkatkan daya saing industri serta memperluas akses pasaran antarabangsa bagi produk dan perkhidmatan Halal Malaysia. -MalaysiaMADANI
