Memastikan Malaysia mempunyai rangkaian kerjasama dan hubungan diplomatik terbaik, Kerajaan MADANI terus bekerja keras dengan mengadakan pertemuan dengan pihak berkepentingan.
Usaha keras itu dizahirkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menerima kunjungan Setiausaha Agung Boao Forum for Asia (BFA), Zhang Jun, bagi bertukar pandangan mengenai landskap serantau dan global yang semakin mencabar.
Perdana Menteri berkata, dalam suasana dunia yang berdepan ketidaktentuan geopolitik, tekanan ekonomi serta perubahan teknologi yang pesat, kerjasama serantau yang lebih erat, inklusif dan berteraskan dialog kekal menjadi kunci kepada kestabilan, kemakmuran serta kesejahteraan bersama.
Beliau berkata, Malaysia akan terus berkerjasama rapat dengan BFA dalam bidang perdagangan dan pelaburan, transformasi digital, kecerdasan buatan (AI), peralihan tenaga, keterjaminan makanan, pendidikan serta pembangunan bakat.
“Semoga ikhtiar ini akan terus memperkukuh daya tahan rantau serta membuka lebih banyak ruang kerjasama yang memberi manfaat nyata kepada rakyat keseluruhannya,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Pertemuan itu diadakan pada penganjuran Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik (APR) Ke-39 di Kuala Lumpur.
Dalam majlis sama, Perdana Menteri turut menerima kunjungan hormat Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn bagi bertukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau serta keutamaan kesatuan ini dalam mendepani landskap geopolitik dan ekonomi yang semakin mencabar.
Dalam pertemuan tersebut, Perdana Menteri berkata, antara isu yang menjadi perbincangan adalah perkembangan semasa di Myanmar, situasi di Laut China Selatan, kemajuan kecerdasan buatan (AI), pasca penyertaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN, pelaksanaan ASEAN Community Vision 2045 serta implikasi konflik di Asia Barat terhadap rantau ini.
Tegas beliau, ASEAN perlu terus berpegang kepada prinsip perpaduan, pemusatan dan kerjasama yang erat agar rantau ini kekal aman, stabil dan makmur.
“Malaysia akan terus memainkan peranan yang konstruktif dalam memperkukuh ASEAN sebagai sebuah komuniti yang berdaya tahan, inklusif dan mampu memenuhi aspirasi rakyatnya,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
