Berita

KPT positif usaha IPTS rancak sektor pendidikan, serap ke dalam industri

Penglibatan konglomerat besar dalam bidang pendidikan negara dilihat bukan sahaja mampu menarik minat pelajar tempatan semata-mata tetapi juga pelajar antarabangsa, menurut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud.

Katanya, para pelajar bukan sahaja berpeluang menimba ilmu dengan tenaga pengajar pakar dan berpengalaman, malah turut diberi keutamaan untuk direkrut terus ke mana-mana rangkaian perniagaan dan francais kumpulan perniagaan.

Perkara berkenaan dinyatakan beliau ketika membuat lawatan kerja ke Kolej Universiti BERJAYA yang turut menempatkan Kolej TVET BERJAYA, di ibu negara, semalam.

Ujarnya lagi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa positif dalam menyokong usaha sektor Institut Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) menarik minat lebih ramai golongan muda meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif, BERJAYA Corporation Berhad, Norlela Baharudin berkata, pihaknya menawarkan pelbagai program pengajian bermula asasi hinggalah ke Doktor Falsafah (PhD).

Beliau yang juga Pengerusi, Lembaga Governan, Kolej Universiti BERJAYA menegaskan, pihaknya turut memfokuskan tujahan dalam bidang TVET.

Ia berkaitan perniagaan kumpulan konglomerat tersebut terutamanya dalam bidang kulinari, hospitaliti, peruncitan dan perkhidmatan makanan (F&B). – Malaysia MADANI