Berita

Agenda gugat kestabilan politik, tidak akan dilayan : Agong

Yang di-Pertuan Agong membuat penegasan tidak melayan permintaan daripada mana-mana pihak cuba menggugat kestabilan politik negara.

Dalam titah sulung baginda selepas dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan lepas, Sultan Ibrahim bertitah, semua pihak perlu menerima kenyataan dan menghormati Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk.

“Semua pihak mestilah menerima kenyataan dan menghormati Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk.

“Jika ada yang hendak main politik tunggu masa pilihan raya akan datang,” titah baginda yang dipetik Astro Awani, hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini, yang turut dihadiri Ahli-ahli Dewan Rakyat dan Ahli-ahli Dewan Negara.

Turut berangkat ke istiadat itu, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Baginda pada masa sama, mengingatkan bahawa kedudukan Parlimen merupakan tempat penggubal undang-undang berkumpul dan membuat peraturan.

Justeru, titahnya sangat tidak masuk akal jika penggubal itu sendiri gagal mematuhi peraturan yangg dibuat.

Baginda turut, memberi lampu hijau kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara, untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana Ahli Dewan Rakyat atau Ahli Dewan Negara yang melampaui batas, ketika bersidang termasuk mengenakan penggantungan selama 14 hari kepada Ahli Parlimen yang terlibat, jika mereka masih berdegil.

“Saya harap semua ahli dewan akan tunjukkan contoh teladan yang baik apabila berada di dewan yang mulia ini.

“Jaga adab dan tataterbit serta gunakan tutur kata yang sopan dan bukan maki hamun orang lain.

“ Kalau tengok perangai ahli dewan sebelum ini saya pun rasa malu nak masuk ke dewan ini,” titah Baginda lagi. – Malaysia MADANI