Berita

Agong berangkat rasmi Istiadat Pembukaan Sidang Parlimen

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15.

Ketibaan baginda yang diiringi Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah kira-kira 10 pagi tadi di Dataran Parlimen disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

kehadiran Seri Paduka berdua pada istiadat pembukaan Parlimen pertama merupakan yang pertama selepas mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu.

Sejurus tiba di Dataran Parlimen, Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofia kemudian diiringi ke Penterana Diraja dan menerima sembah ‘Hormat Diraja’ oleh pasukan Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Kemudian lagu Negaraku dimainkan Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja, diikuti tembakan meriam 21 das dari pasukan 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat), Kem Sungai Buloh, Selangor.

Baginda kemudian memeriksa pasukan Kawalan Kehormat Utama dan seterusnya berangkat semula ke Penterana Diraja dan menerima sembah ‘Hormat Diraja’ buat kali kedua, sebelum lagu Negaraku dimainkan sekali lagi.

Di laman rasmi Parlimen, persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 19 hari dengan tumpuan utama adalah perbahasan Titah Diraja oleh Ahli-ahli Parlimen dari 27 Februari hingga 7 Mac.

Ia diikuti jawapan daripada kementerian berkaitan selama empat hari bermula 11 Mac.

Manakala Sidang Dewan Negara pula dijadual berlangsung 18 Mac hingga 4 April depan.

Istiadat berkenaan turut disiarkan secara langsung menerusi saluran televisyen dan platform dalam talian. – Malaysia MADANI